Sunday, October 24, 2010

Ini Kisah Aku (Part 2)

Sambungan daripada part 1

***

Teringat pula di dungun, ketika aku masih mentah, aku buat keputusan tanpa berfikir panjang. Tak berfikir apa-apa kecuali pengaruh daripada sekolah dahulu, aku buat keputusan untuk ambil jurusan kejuruteraan elektronik di UiTM Dungun. Teruja untuk belajar. Tapi aku terlupa. Lupa tanya jiwa sanubari aku. Dan sekarang, aku terpaksa abaikan jiwa, tetapi fokus kepada realiti dan terus berjalan. Hidup tak semestinya ikut hati. Aku tiada pilihan. Lari dari keadaan bukanlah cara aku. That’s not how i was tought to be a real man. Oh, itu definisi aku bagi lelaki sebenar. Bukannya yang berotot raksasa dan tangkas bermain dengan dumbell.

Sepanjang aku di dungun aku tidak begitu menghadapi masalah. Walaupun pointer tak berapa nak hebat, tapi aku suka dengan sekeliling. Cuma sesekali aku merungut tentang pembangunan. Aku mula rasakan bahawa Terengganulah yang menyebabkan aku tak bebas. Jiwa aku meronta inginkan hiburan. Aku dahagakan pembangunan. Kononnya. Padahal aku tak berfikir panjang.

Setelah semester 3 diploma melabuhkan tirai, aku diberi tawaran untuk terus sambung ke Shah Alam buat Ijazah. Aku berfikir pendek sekali lagi. Tapi aku tahu, aku tak boleh untuk berterus-terusan buat keputusan yang tepat. Aku manusia. Tak akan lari daripada ralat. Aku cuma boleh memilih satu jalan, dan terus berjalan. Bila aku berjalan, aku tak akan pertimbang yang belakang. Tapi nak tak nak aku kena jadikan sandaran.

Sampailah satu masa aku belajar dengan diri sendiri. Aku tahu, keputusan yang tepat tak selalu datang. Tapi aku masih boleh untuk melayan arus keadaan. Aku tak boleh untuk terus menentang dan maki hamun diri sendiri atas kesilapan aku memilih jalan. Ini takdir aku. Dan aku percaya Tuhan dah sediakan jalan sendiri untuk aku. Selagi aku yakin padaNya, dia pasti sediakan aku dengan yang terbaik. Sudah sampai masanya untuk aku menerima hakikat bahawa halangan adalah hiburan.

Jadi setelah menyelesaikan segala urusan, aku mula berangkat dan memulakan hidup baru di Shah Alam. Satu permulaan baru dalam kehidupan aku. Ya. Tak kisah seburuk manapun keputusan itu, pasti ada hikmahnya. Aku mula membayangkan beberapa peluang yang aku bakal terlepas kalau aku tak sambung ke Shah Alam. Ah. Persialkan segala kerisauan. Ada laluan menanti untuk aku berjalan.

Di sini, pelajaran tak nampak begitu mudah. Tapi mujur dengan izinNya aku berjaya mendapat DL walaupun aku tahu aku yang terendah. Aku mula belajar satu lagi perkara. Pelajaran peting. Ya. Tapi jangan begitu taksub dengan pelajaran. Hidup juga sebenarnya adalah satu kitaran masa untuk kita buat apa yang kita suka. Sekali lagi jiwa aku meronta untuk bebas. Aku perlukan sesuatu yang menghiburkan.

Ketika aku sedang mencari titik hiburan untuk dinikmati di sini, aku mula perasan beberapa perkara. Aku mula terjumpa keunikan negeri Terengganu. Aku mula faham kenapa Terengganu mengasingkan dirinya dari pembangunan meskipun terpaksa dihina dengan kemunduran. Mereka yang menghina itu tidak faham dengan keunikan sebenarnya. Mereka tak sedar bahawa kebudayaan mereka telah pudar dimamah pembangunan. Tapi tak apa, perlu ada negeri seperti Terengganu di Malaysia untuk mengekalkan kemelayuan, dan perlu ada negeri seperti Selangor dan Kuala Lumpur untuk memajukan orang Melayu. Ianya bukan kebetulan. Tapi memang satu keperluan bagi seluruh warga melayu. Padahal berapa ramai rakyat Terengganu yang berhijrah ke barat. Membuktikan walaupun secara dasarnya Terengganu mundur, tapi masih ramai rakyatnya yang maju. Malah rakyat Terengganulah yang bersama memajukan Kuala Lumpur dan Selangor.

Terhenti seketika.

Dan, akhirnya aku tertiarap disini. Di sebuah bilik yang tenang dan aman. Berada di penghujung dan pengakhiran semester 2. Sedar tak sedar, sudah hampir 1 tahun aku disini. Sudah banyak pengalaman dan halangan yang aku tempuhi rupanya.

Sekarang, sedang bersedia untuk final exam. Meskipun mungkin aku bakal berdepan dengan ralat lagi dalam peperiksaan, tapi bagi aku benda ini adalah benda kecil. Apa yang penting adalah life. Gagal dalam pelajaran tak bermakna aku gagal dalam kehidupan. Tapi, itu juga tak bermakna aku tak boleh nak dapat keputusan yang gempak. Aku tahu aku boleh.

Cuma, aku malas.

Nak buat macamana?