Sunday, October 24, 2010

Ini Kisah Aku (Part 1)

Kipas berputar dengan rakusnya. Suasana tenang. Langsir sedikit terbuka, membolehkan sedikit ruang untuk cahaya memasuki bilik yang gelap ini. Buku, kertas, wayar bersepah. Menandakan sudah lama bilik ini tidak diservis. Itu belum dikira lagi alat tulis serta kalkulator yang bergelimpangan bagaikan tiada tuan.

Aku meniarap di satu sudut. Berlapikkan tilam yang tak begitu empuk. Selesa sekali aku dikerumuni buku yang bersepah. Kaki bergoyang. Kepala terangguk-angguk. Asyik melayan lagu monoloQue. Lirik yang santun dan penuh unsur kemelayuan. Memang sesuai untuk dilayan ketika sepi begini. Sambil membaca buku “Malaysia & The Club of Doom”.Kontra, tapi satu padanan yang bagus.

Manusia-manusia yang lain sedang rancak berbincang diluar dekat ruang tamu. Formula dan penyelesaian dibahaskan. Teori terkumat-kamit dibibir masing-masing. Begitu asyik menghafal. Aku saja tidak turut serta, malas.

Setelah beberapa muka surat, aku membaringkan diri aku menghadap syiling. Sepi.

Tersenyum. Aku mula berkhayal. Membayangkan kembali peristiwa-peristiwa lama. Ah. Kenangan lama susah untuk dilupakan. Tak kisahlah sedih atau gembira.

Aku teringat ketika aku di sekolah menengah. Aku merupakan pelajar yang biasa-biasa sahaja. Tak hebat apa-apa. Matematik paling lembap. Masih teringat aku mengekalkan rekod 3 tahun tanpa lulus matematik sehinggalah PMR yang mana aku berjaya dapat B. Pasti sebab skema permarkahan direndahkan.

Heh. Siapa yang menyangka aku yang lembab matematik dahulunya kini seorang pelajar kejuruteraan. Biarpun result aku sedikit celaka, aku membuktikan bahawa matematik tak perlukan bakat. Sebaliknya memerlukan keringat dan kesabaran.

Aku teringat pula ketika aku di menengah atas. Aku berkawan dengan mereka yang taksub terhadap matematik. Orang yang berkepala matematik ni bahaya. Tak payah susah-susah nak belajar penuh semangat, sekali dua buat latihan dah dapat result yang gempak. Aku ingat bagaimana kawan-kawan sekeliling aku mempengaruhi aku untuk lulus matematik.

Matematik, walaupun satu ketika dulu aku elergik tapi sekarang aku dah energetik bila mendengarnya. Bukan lagi musuh aku. Tapi teori dan formula bakal dan sentiasa menghantui aku.

Itu kisah di sekolah.

No comments: