Friday, February 18, 2011

Entri Kehidupan

Bila gua skroll balik ke bawah, cuba cari entri-entri lama, baru gua perasan satu perkara. Dah agak lama sejak gua last update pasal kisah hidup gua. Gua tahu, tak ramai yang nak tahu. Ya. Gua terima. Gua bukan artis. Gua bukan perempuan. Dan pembaca blog gua bukannya gay. Ya. Gua faham. Gua, hanyalah seketul jasad jantan yang haram tak maskulin tetapi bermuka baik.

Ok. Itu mukadimah.

Sekarang ni, gua masih lagi sedang bersilat dengan subjek-subjek elektrik yang menjadi kegemaran gua sejak berzaman lamanya. Ok. Gua takut ada yang tak faham. Siapa gua sebenarnya? Gua adalah penuntut bidang kejuruteraan elektrik yang tak minat pada elektrik dan sensitif pada matematik. Betul ni, gua tak tipu. Gua tak tahu kenapa gua masuk bidang ni. Tapi percayalah, gua tak menyesal.

Dalam meniti hari-hari tipikal gua sebagai seorang pelajar kebanyakan, gua tak boleh nak fokus sangat pada pelajaran. Meski muka gua ada ala-ala aura baik, tapi gua bukan jenis baik-baik. Nak buat macamana, dah muka gua muka baik. Hati hitam, itu kedian kira. Gua cenderung kepada benda-benda yang kekarutan dan boleh buat gua melayang. Contohnya, bacaan-bacaan indie, lagu yang berunsurkan kelalaian, dan cerita yang buat gua suka sorang-sorang.

Benda-benda nilah yang buat jiwa gua hidup sempurna sampai sekarang. Itu, tak dicampur dengan bunga dalam hati lagi. Tapi bagi menjaga tahap kemachoan gua, adalah lebih elok jika gua tak bincangkan bersama.

Cuma, sekarang ni gua kadang-kadang rasa tak sedap. Gua celaru, tak tahu area mana nak garu. Gatal kepala, tidak. Gatal belakang, tidak. Tapi yang pasti, gua gatal.

Kadang-kadang gua bangun tidur, dan penuh dengan harapan nak belajar dengan penuh tawaduk. Kadang-kadang gua bangun tidur dengan penuh carutan dan rancangan untuk ponteng kelas. Kadang-kadang lagi, gua bangun, dan gua rasa nak duduk tercegat, sampai malam. Dan, kadang-kadang, gua tak tahu, nak bangun tidur ke tak.

Gua tak tahu, ini penyakit, sindrom ataupaun apakah.

Tapi agak-agak, ada pil tak untuk ubati masalah gua ni?

Meroyan


"Kenapa tak dibiarkan saja belanga itu pecah, biar ia berkecai hancur luluh sampai tercampak ke peha bumi? Biarkan ia musnah, dan tinggalkan ia disitu biar dimamah tanah pamah yang bersemi. Pijak dan sepaklah serpihannya, biar ia terbenam jauh dipelusuk dunia. Ditinggalkan, dan dilupakan. Dihina dan akhirnya terhina."

Selamat Malam.

Thursday, February 17, 2011

Skill membaca

Gua, sebenarnya ada satu perangai pelik. Perangai pelik gua ialah gua suka membaca masa makan. Membaca ni bukanlah bermaksud membaca benda-benda yang berilmiah (baca:study),tetapi seperti buku indie, komik, surat khabar dan sebagainya. Selagi benda tu tak berkaitan dengan subjek yang gua belajar dan boleh dibaca, gua akan baca.

Membaca masa makan ni, memang nampak tak beradat. Tapi gua heran apa. Gua memang kurang sikit adat dan sivik ni. Sebab tu gua rasa gua ada masalah besar dengan mak mentua nanti. Tapi itu kedian kira.

Membaca masa makan perlu sedikit skill. Sebab apa, kalau kau tak ada skill, silap-silap nanti takut benda-benda tak patut masuk ke dalam perut. Yang itu bahaya, dan ya, itulah risikonya. Mana la tahu, sebiji kepala ikan kau telan, mahu tempah kubur nanti.

Gua tak usah cakaplah. Bab skill makan sambil membaca ni gua dah fasih. Nasi, mee, ikan, ayam, semua gua terer. Bagilah apa benda sekalipun, nescaya gua boleh makan dengan selamat, insyaAllah.

Nak dijadikan cerita, haritu gua pulang ke rumah dengan sebungkus nasi. Perut pulak tengah lapar time tu. Tengok nasi pun penuh bernafsu. Tapi gua cari buku dulu, santapan minda konon-kononnya. Gua tengok ada buku shin chan. Gua pun tibai ajelah.

Sedang-sedang syok gua makan, sikit lagi nak telan, tetiba ada satu naluri lawak yang menyebabkan gua rasa nak suka. Dan bila nasi hampir-hampir antara nak masuk ke dalam tekak dan tidak, dan ketika tu kau nak suka pulak, hasilnya adalah kau akan rasa sangat celaka dan seolah-olah katil ICU memanggil-manggil.

Jadi, konklusinya, sila jauhkan buku shin chan kalau nak makan sambil membaca. Lawak dalam buku tu patut diletakkan label PG13. Lawak tahap berat. Gua sirius!

Wednesday, February 16, 2011

Darah Chelsea!

Dalam dunia bola, pakar-pakar taktikal pernah mengatakan (agaknya la) bahawa semuanya boleh terjadi. Seperti dunia badminton, bola juga adalah salah satu sukan dimana semua benda boleh terjadi.

Contohnya seperti, ketika ketinggalan 3-0, kadang-kadang sesebuah pasukan tu masih boleh mengejar dan menang 4-3. Keadaan ini pernah berlaku. Meskipun perkataan bodoh, bangang dan bengong boleh dilemparkan kepada pasukan yang pernah mendahului dengan 3-0 itu, tapi hakikatnya memang semua benda boleh terjadi dalam bola sepak. Law of physics kononnya. Jadi, ianya absolut. Menatang apa absolut ni jangan tanya aku.

Begitu juga dengan kedudukan liga. Kalah berapa kali pun, selagi tak tercicir melebihi kedudukan yang agak bangang iaitu top 7 (baca-Liverpool) sesebuah pasukan itu masih boleh berpegang pada beberapa formula dan harapan bahawa thing’s will get better. Kalah tak apa. Next game ada lagi. Kalah lagi next game tak apa, next game ada lagi. Begitulah cara peminat serta pengurusan bola sepak menaruh harapan kepada pasukan mereka, meskipun sekadar harapan basi.

Tapi, kalau dah kalah dengan pasukan yang pernah menjunam lebih jauh ke dalam kedudukan yang bangang iaitu nun jauh dipelusuk tengah-tengah kedudukan liga (baca: Liverpool), dan seri pulak dengan Fulham, aku syak jurulatih macam Mourinho pun tak berani nak bertaruh tinggi-tinggi.

Tak, ni bukan entri nak kata aku dah give up dengan Chelsea. Bak kata peminat fanatik tegar, darah chelsea mengalir dalam diri ni. Mengalir macam mana? Haa, yang tu kita kena tanya peminat manchester united. Sebab apa? Sebab aku tak tahu apebenda yang ada dengan kelab setan sesat tu, tapi kalau ada game setan tu, mesti penuh restoran mamak. Necaya jemlah area seksyen 7 berdekatan Restoran Hakim ni. Dari duk kaji orang yang tersesat freemason, baik kaji orang yang tersesat dengan setan merah ni. Dah ramai sangat ni.

Kepada peminat menchseter united, cepat-cepat la bertaubat. Kita tak tahu bila nak mati. Ye dok?

Thursday, February 10, 2011

Kisah Gadis Gila Kucing

Dia, sukakan kucing comot. Berbulu lebat dan bermata bulat membiru sebiru awan nimbus sememangnya ciri-ciri pilihannya. Dia, dan kucing comot, ibarat gadis perempuan comel dan lolipop. Tak boleh dipisahkan.

Ketagihannya terhadap kucing, sudah mencapai tahap infiniti. Dia, bila terjumpa kucing, kadang-kadang boleh jatuh hati. Kucing, fikirnya, adalah peneman sehidup semati.

Sampailah bila dia berjumpa dengan L. L, seorang jejaka kacak. L, berambut lebat. L, bermata bulat. Dan mata L, biru, sebiru awan nimbus. Lalu, dia fikir, inilah kucing dalam jelmaan manusia. Lalu dia fikir, L lah, peneman sehidup semati.

Hendak dijadikan cerita, dia jatuh hati pada L. Dan, seperti dia, L juga jatuh hati padanya. Lalu, dia dan L, cuba untuk bercinta ke hujung dunia. Bila dia bersama L, dia rasa bahagia. L telah curi hampir lebih separuh dari hatinya. Tapi, secebis lagi hatinya, dia simpan buat kucing comot, fetish berahinya sejak sebelum dia mengenali L lagi.

Buat beberapa ketika, berbahagialah dia dan L. Ibarat cinta Beckham dan Posh, begitulah cinta L dan dia.

Namun, semuanya berubah bila dia mengetahui bahawa L, lelaki idamannya, merangkap kekasih hatinya, yang juga pemilik lebih separuh dari hatinya, rupanya elergik pada kucing. Saat itu, dia rasa, jiwanya bagai dimamah anjing-anjing bulldog yang liar. Dia, menangis. Air matanya yang jernih ibarat kristal menitis, tik, tik, tik jatuh ke bumi.

Tika itu, dia sedar. Dia perlu pilih, sama ada L atau kucing. Dia sayangkan L. Tapi, itu tak bermakna dia boleh melupakan kucing. Siapalah dia tanpa kucing dahulunya. Apalah erti kehidupannya tanpa si comot dahulunya. Dia mula terbayang mata biru kucing comot kesayangannya. Dia, mula rindukan gelagat-gelagat nakal si comot yang berbulu lebat.

Dalam penuh kecelaruan. Dia mendongak ke langit. Dengan jiwa yang penuh kekusutan, dia akhirnya memutuskan keputusan. Dia, nekad. Biarlah, fikirnya. Air matanya, terus berderai jatuh ibarat manik-manik putih yang tercerai daripada ikatan.

Dia keluarkan telefonnya, dan segera menghantar mesej kepada L.

**

" By, sorry. Baby tpksa pilih comot. By trllu baik utk baby. Hllkn mkn minum ya. Bye! "