Sunday, September 25, 2011

"Kadang-kadang kita sekadar perlukan beberapa hirupan kopi untuk mengatakan, indahnya!"

Saturday, September 3, 2011

Update Raya

Rasanya sudah sampai masa untuk aku buka cerita tentang Raya. Ya, Raya. Hari di mana semua orang merayakan hari raya. Hari untuk bersuka-ria.

Mungkin atas dasar beberapa faktor, suasana raya tidak begitu mengena dengan jiwa aku tahun ni. Tiada bait-bait dalam sanubari yang terkinja-kinja berlari ingin menikmati hari raya ini. Sekadar serpihan hati mengata, hari ini hari raya-jadi ayuhlah seru sedikit semangat untuk merayakannya. Setakat itu saja.

Aku kira, ini disebabkan oleh cuti. Dahulu, atau tahun-tahun sebelum - dalam 3 tahun sudah, aku tak rasa nikmat berbuka di rumah. Suasana puasa aku hanya ditemani makanan bazar dan bilik hostel ataupun rumah sewa. Ketika orang sibuk berterawih aku sedang berborak kosong di dalam bilik atau sedang memegang sebatang pen sedang kepala girang terbayang-bayang hari raya ketika pensyarah sedang taksub bercerita.

Hujung minggu pula sibuk dengan perkiraan cuti Raya. Bilamana terdapat test/kuiz yang cuba untuk mencacatkan suasana hari raya, aku lebih rela membiarkan test/kuiz mencacatkan aku, semata-mata kerana aku ingin cuti, ingin menikmati raya. Tapi tahun ini, aku diberi kurnia cuti nun lama sebelum raya hatta sebelum puasa lagi. Jadi, aku disini, dalam kelompok kehidupan yang aku selesa dan sebati. Di celah-celah dunia pelusuk Terengganu. Dikelilingi saudara sendiri, tempat tinggal sendiri, suasana negeri sendiri. Ya, tiada test, tiada kuiz, tiada pensyarah. Yang ada hanya aku dan masa terluang.

Jadinya, dari mana hendak aku seru nikmat raya. Ada apa disebalik atmosfera raya yang mana hari untuk pulun makan setelah sebulan kelaparan itu? Tapi mujurlah, hikmahnya adalah ruang untuk aku bersenggama dengan kemalasan terawih makin kecil. Bila di kampung, terawih perlu rajin. Semangat perlu dikerah.

Dan bila tiba hari raya, aku kembali dihantui sketsa-sketsa trauma bersalam. Ini kisah lama, tak-bukan sekadar lama, ini fakta diri aku. Disebabkan beberapa kisah sadis yang memalukan aku ketika bersalam kira-kira sepuluh tahun yang lepas, aku jadi trauma terus bersalam. Aku takut aku terus dimalukan dengan sketsa-sketsa memalukan itu. Itu masalah bagi aku-kerana siapa kisah/kira apa masalah/trauma aku? Yang penting bilamana aku gagal untuk menunaikan acara bersalam, aku boleh dikira/dituduh kurang adat. Walaupun itu sebenarnya satu lagi fakta tentag diri aku - tak ada adat. Oh, bab tu aku salahkan Datuk Ketemenggungan.


Mujurlah. - mujurlah raya tak lama. Sekadar kelip beberapa kali, 3 hari raya sudah dirai. Dan aku masih disini, bersaki baki dengan trauma sejak azali. Duit raya, heh. Mujurlah tak begitu mendukacitakan hati. Setelah berusai mood raya, maka bolehlah aku berkira-kira mood belajar pula. Lagi seminggu dua. Harapnya aku boleh kerah otak untuk kembali berfungsi setelah hampir 4 bulan terbengkalai mati.